Browsed by
Category: HAL EHWAL MURID

PERASMIAN PROGRAM PINGGAN SIHAT MALAYSIA 2017

PERASMIAN PROGRAM PINGGAN SIHAT MALAYSIA 2017

Pada 8 Mei 2017 (Isnin) telah diadakan perasmian Program Pinggan Sihat Malaysia 2017 di bawah kelolaan Kelab Doktor Muda. Menurut penyelaras program, Puan Salmi bt Salleh, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada murid-murid SK Palong 9 (F) khasnya dalam pengambilan pemakanan yang seimbang dalam sepinggan sajian. Konsep #sukusukuseparuh yang diterapkan dalam program ini memberi gambaran agar keperluan makanan perlu diambil kira dalam kuantiti yang sederhana iaitu:

  • Suku pertama: nasi, bijirin, roti, mee dan ubi
  • Suku kedua: daging, ikan, ayam dan sumber protein yang lain
  • Separuh pinggan: buah-buahan dan sayur-sayuran

Selain itu, program ini bertujuan mempromosikan gaya hidup yang sihat demi mengurangkan kadar obesiti yang semakin menular di kalangan murid-murid sekolah rendah di Malaysia. Akhir sekali, program ini telah dirasmikan oleh Tuan Guru Besar, Encik Asmi bin Lamin pada jam 8.45 pagi di Dewan Rafllesia SKp9 dengan jayanya. Diharap agar semua murid mendapat manfaat yang baik daripada program yang bermakna ini.

PROGRAM PERKAMPUNGAN ILMU TAHUN 6 2017

PROGRAM PERKAMPUNGAN ILMU TAHUN 6 2017

Satu program dinamakan Program Perkampungan Ilmu Tahun 6 2017 telah diadakan pada 6 Mei 2017 bersamaan hari Sabtu bertempat di SK Palong 9 (F).

Program ini telah diadakan sebagai inisiatif pihak sekolah dalam memangkin perkembangan akademik murid-murid khasnya calon-calon peperiksaam UPSR tahun ini untuk lebih bersedia lagi.

Seramai 4 orang guru telah dijemput sebagai penceramah bagi setiap sesi sepanjang program ini dilaksanakan iaitu:

  • Bahasa Melayu: Cikgu Mokhtar (SK Raja Alias 3)
  • Bahasa Inggeris: Teacher Azian (SK Palong 4 F)
  • Matematik : Cikgu Shukor (SK Palong 8)
  • Sains : Cikgu Faris

Program ini dilaksanakan dari pukul 8.30 pagi dan berakhir pada jam 10.30 malam dengan jayanya.

Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Kurikulum, Hal Ehwal Murid, Kaunseling, barisan penceramah, AJK guru pelaksana dan murid-murid atas kelangsungan program yang bermakna seperti ini. Diharap agar calon-calon UPSR 2017 dapat menimba ilmu pengetahun sebaik mungkin sebagai persediaan menjelang peperiksaan UPSR kelak. SKP9 terus maju!

 

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SESI 2017

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SESI 2017

Hari pertama persekolahan bagi tahun 2017 telah berlangsung dengan jayanya. Semua murid hadir dengan penuh semangat untuk menimba ilmu menuju kejayaan. Tidak ketinggalan guru-guru yang penuh dedikasi untuk mendidik anak bangsa negara Malaysia pada hari ini. Semoga sesi persekolahan tahun 2017 berjalan dengan lancar mengikut takwim dan perancangan sekolah sebaiknya.

 

 

Pelancaran Tabung Amal Aman Palestin

Pelancaran Tabung Amal Aman Palestin

Cikgu Afnan sedang memberi penerangan tentang Palestin
Cikgu Afnan sedang memberi penerangan tentang Palestin

Satu Majlis Pelancaran Tabung Amal Aman Palestin telah diadakan di SK Palong 9 sebagai satu usaha membantu rakyat Palestin yang diperangi oleh tentera Israel.

Sedikit taklimat berkenaan isu Palestin hari ini telah disampaikan oleh Cikgu Afnan Tumiran berkenaan sejarah dan isu yang terselindung di sebaliknya. Sesungguhnya isu Palestin ini adalah isu aqidah umat Islam. Seharusnya kita tampil membantu saudara seislam kita di Palestin.

Program ini adalah kerjasama antara pihak sekolah dan pihak Aman Palestin cawangan Negeri Sembilan sebagai usaha menanam rasa sayang dan cinta kepada insan lain yang memerlukan.

Pelancaran Bulan Dakwah

Pelancaran Bulan Dakwah

Perasmian Bulan Dakwah Peringkat Sekolah
Perasmian Bulan Dakwah Peringkat Sekolah

Majlis Pelancaran Bulan Dakwah peringkat sekolah telah diadakan pada perhimpunan rasmi hari Isnin bersamaan 23 Jun 2014 bertempat di Dewan Rafflesia SK Palong 9. Perasmian telah disempurnakan oleh Puan Hajah Rosna Bt Mamat, Guru Penolong kanan Akademik.

Matlamat penganjuran bulan dakwah ini ialah untuk menyemarakkan lagi usaha dakwah di peringkat sekolah agar penghayatan aktiviti dakwah dan syiar Islam dapat dihayati bersama. Antara objektifnya pula untuk menggerakkan usaha dakwah secara bersepadu agar lebih berkesan dan menyeluruh serta menggambarkan Islam sebagai agama yang syumul.

Pelbagai aktiviti menarik yang bakal diadakan sepanjang bulan dakwah ini dan antaranya ialah Program Pencetus Ummah, Radio Islami, Semarak Jawi, Smart Salam dan Menutup Aurat.

Semoga dengan berlangsungnya program ini dapat meningkatkan lagi kefahaman Islam dalam kalangan semua warga Sk Palong 9.

Program Sarana Ibu Bapa

Program Sarana Ibu Bapa

2014-06-20 10.59.16

2014-06-20 10.58.55

Pada 20 Jun 2014, Program Sarana Ibu Bapa telah diadakan bertempat di Dewan Terbuka SK Palong 9. Majlis bermula jam 10.15 pagi dan dirasmikan oleh Guru Besar, Encik Muhd Taufik Bin Awap. Majlis juga dihadiri oleh pengerusi PIBG, Encik Abdul Kadir Bin Ahmad.

Para ibu bapa yang telah hadir seawal jam 10.00 pagi, telah diberikan taklimat berkenaan sarana ibu bapa tersebut. Para ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam kecemerlangan anak mereka. Hal ini amat bertepatan kerana guru hanyalah sebagai ibu bapa kedua sahaja di sekolah, maka ibu bapalah yang berkepentingan memberikan semangat kepada anak-anak mereka.

Selepas taklimat diberikan, semua ibu bapa bergerak ke kelas anak masing-masing bagi melihat dan mengambil keputusan peperiksaan pertengahan penggal yang lepas serta bagi mengetahui prestasi anak-anak dalam pembelajaran. Hal ini sangat penting kerana dengan mengetahui perkembangan anak mereka, ibu bapa boleh mengambil perhatian untuk memperbaiki cara didikan selepas ini. Bagi merealisasikan hal ini, guru memberikan maklumat penting kepada ibu bapa berkenaan anak mereka di dalam kelas.

Program berakhir jam 12.00 tengahari dan selepas itu, semua ibu bapa barsurai. Semoga dengan adanya program seperti ini, ianya diharap dapat membantu meningkatkan prestasi sekolah  dengan lebih baik.

‘Gigi Putih Sihat Berseri’

‘Gigi Putih Sihat Berseri’

GIGIKU BERSIH!
GIGIKU BERSIH!

edit 20

 

Satu program Penjagaan Gigi Sihat telah diadakan di SK Palong 9 dengan kerjasama Klinik Kesihatan Palong 9 pada 18 Jun 2014. Program ini adalah program tahunan yang diadakan bertujuan memberikan pendedahan dan ilmu kepada semua murid berkenaan penjagaan gigi dan cara pembersihan gigi yang betul agar sentiasa sihat dan cantik.

Acara dimulakan pada pukul 10.35 pagi dimulai dengan taklimat dan praktikal gosok gigi yang dikendalikan oleh kakitangan klinik kesihatan yang profesional. Penganjuran program ini adalah sangat baik kerana pada umur murid-murid sekitar 7 hingga 12 tahun ini, mereka mudah terdedah kepada kerosakan gigi yang mungkin akan membawa padah kepada kehidupan mereka pada masa hadapan jika ianya tidak diambil berat.

Justeru itu, bermula dari sekaranglah mereka perlu tahu cara penjagaan gigi yang betul supaya tidak menyesal di kemudian hari. Acara berakhir sekitar pukul 11.35 pagi dan selepas itu, semua murid masuk ke kelas masing-masing untuk menyambung pelajaran.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2014

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2014

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan Palong 9 (F) pada tahun ini telah diadakan pada 16 Mei 2014. Antara tujuan sambutan hari guru setiap tahun adalah bagi memperingati jasa seorang insan bergelar guru yang berpenat lelah mendidik anak bangsa mencapai kejayaan. Memetik bait-bait sajak karang Usman Awang bertajuk ‘Guru oh Guru’ :

“…Jika hari siapa sahaja menjadi dewasa,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca…”

Begitulah mulianya seorang guru yang bertindak sebagai seorang yang memanusiakan manusia.

Sambutan hari guru kali ini disambut meriah oleh semua warga SK Palong 9. Tarikh 16 Mei setiap tahun sudah pasti diingati setiap tahun sebagai tarikh keramat bagi guru. Dengan bertemakan Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, majlis kali ini telah disempurnakan oleh Guru Besar, Encik Muhd Taufik Bin Awap.

Puan Hajah Rosnah bt Mahat membacakan ucapan daripada Menteri Pelajaran

Majlis dimulakan dengan pembacaan perutusan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah disempurnakan oleh Puan Hajah Rosna. Selepas itu, guru besar telah sudi menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis. Dalam ucapannya, guru besar telah mengingatkan para murid bahawa guru terlalu banyak berjasa kepada mereka. Oleh itu, mereka harus membalasnya dengan cara mencapai kejayaan dalam hidup.

Pada masa yang sama, para guru juga telah membuat satu ikrar untuk mematri janji mengajar murid dengan bersungguh-sungguh. Selepas itu pula, para guru telah menyampaikan dua buah lagu bertajuk Guru Malaysia dan Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi.

PERSEMBAHAN PRA SEKOLAH
PERSEMBAHAN MURID-MURID TAHUN 5
PERSEMBAHAN MURID-MURID TAHUN 6

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu persembahan murid. Pada kali ini, murid telah berjaya menginterpretasi kasih sayang mereka kepada para guru melalui persembahan yang ditunjukkan. Sesungguhnya para guru sangat terharu dan kagum dengan persembahan yang diberikan menunjukkan bahawa mereka betul-betul ingin mengucapkan terima kasih kepada guru yang telah mendidik mereka.

MURID-MURID BERSEDIA MEMBERIKAN HADIAH KEPADA GURU-GURU

Murid lain juga sangat teruja menonton persembahan yang telah diberikan. Majlis seterusnya menyaksikan para guru telah bertukar-tukar hadiah sesama mereka dan hal ini menambahkan lagi kegembiraan di hari yang penuh bermakna ini.

HADIAH GURU-GURU

Kemuncak kepada sambutan hari guru ini ialah perlawanan bola tampar yang telah diadakan sesama para guru. Perlawanan yang disaksikan oleh para murid ini telah mendapat sorakan istimewa dari para murid yang menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh guru besar dan seterusnya acara memotong kek diadakan. Sesungguhnya, sambutan hari guru setiap tahun bukan semata-mata sambutan kosong, tetapi adalah sebagai satu platfom menghargai jasa guru yang banyak mencurahkan ilmu kepada murid.

Semoga jasa guru tidak kita lupakan.